20dB Hearing percaya bahawa adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menambah baik dan memberi manfaat kepada komuniti sekeliling kami. Tujuan kami adalah untuk meningkatkan kesihatan pendengaran dan kesejahteraan dalam komuniti setempat.
Sehubungan dengan itu, pada 25 Mei 2024 yang lalu, 20dB Hearing telah menyertai Program Kesedaran Pendengaran dan Pertuturan Kebangsaan (NaSHA) 2024 yang telah dianjurkan oleh Jabatan Audiologi dan Patologi Pertuturan Bahasa (DASLP), Kulliyah Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Tema program ini adalah ‘Gema Perpaduan: Memajukan Kesedaran Pendengaran dan Pertuturan Merentas Komuniti Berbilang Budaya’. Program ini dianjurkan bersempena dengan kempen bulan Kesedaran Pendengaran dan Pertuturan yang disambut pada bulan Mei setiap tahun.
Program tersebut dirasmikan oleh Rektor IIUM, Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Bin Abdul Razak. Objektif program ini diadakan adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang masalah pendengaran dan pertuturan bahasa di kalangan komuniti berbilang budaya dan juga bagi memastikan kesinambungan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sedia ada. Antara program yang dilaksanakan oleh DASLP adalah ‘Hearing Aid Loan Program’ (HALO) dan ‘Special Hearing Aid Program’ (SHAP). Program ini dimulakan untuk membantu pesakit yang mengalami masalah pendengaran dan kurang bernasib baik dari segi kewangan melalui program sumbangan alat bantuan pendengaran.
Oleh itu, 20dB Hearing mengambil inisiatif dengan menyumbang 10 unit alat bantu pendengaran yang bernilai RM22,480 untuk ‘Special Hearing Aid Program (SHAP)’. Kami berharap dengan sokongan dan bantuan ini dapat memberikan manfaat kepada golongan yang memerlukan dan seterusnya memberikan perkhidmatan yang baik kepada komuniti berbilang budaya.
Selain daripada itu, DASLP juga telah menjemput beberapa badan komuniti di sekitar Kuantan untuk bersama-sama menjayakan program ini. Antara badan komuniti yang turut sama adalah seperti Malaysia Chinese Muslim Association (MACMA), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Rotary Club of Metro Kuantan Di Raja, dan Taiwan Buddhist Tzu Chi Foundation.
Sepanjang program berlangsung, para jemputan dapat melihat persembahan video kesedaran pertuturan dan pendengaran. Antara aktiviti lain yang diadakan adalah saringan pendengaran, saringan pertuturan dan bahasa, saringan penglihatan dan juga gerai pameran mengenai pendengaran dan pertuturan.
Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jabatan Audiologi dan Patologi Pertuturan Bahasa (DASLP), Kulliyah Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kerana memberi kami peluang ini untuk menyumbang kepada komuniti dan kami berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak pihak lagi di masa akan datang.
Zuhaiza Mohd Noor, Senior Audiologist 20dB Hearing